Selasa, 28 Oktober 2008
Benarkah Yesus Anak Allah? Bagian II
Seorang Pembohong hanya menginginkan wang orang lain dan tamak akan harta mereka, tetapi Yesus sekali-kali tidak ada maksud mendapatkan keuntungan apapun daripada siapapun. Selama Dia di dunia, Dia hanya mengkhabarkan berita baik bagi kepentingan orang lain, memimpin mereka yang telah berpaling tadah daripada Allah, supaya kembali kepada-Nya, malah Yesus sangat dibenci serta dianiaya sehingga Dia mati di atas kayu salib. Tidak ada tujuan dan matlamat laik bagi Yesus selain daripada menyelamatkan manusia daripada hukuman maut akibat dosa mereka. Seorang pembohong hanya menipu oran lain kerana ingin mengaut keuntungan daripada orang yang ditipunya. Tidak mungkin seorang penipu mahu mengorbankan kepentingan dirinya ataupun jiwanya untuk orang yang hendak ditipunya. Seorang penjahat tidak mungkin memberikan teladan baik seperti yang diajarkan oleh Yesus. Orang baik sekalipun tidak mahu menipu orang lain dengan mengorbankan dirinya. Kalau Dia itu bukan Anak Allah, tentulah Dia penipu yang tidak bermoral. Tetapi tiada seorangpun yang mencurigai-Nya dan berani mengatakan ataupun mengakui bahawa Yesus telah melakukan dosa tersebut. Oleh sebab itu, jika Dia bukan orang gila ataupun penipu, maka tentulah tanpa ragu lagi, Yesus sesungguhnya Anak Allah. 2. Kelahiran Yesus oleh seorang anak dara. Peristiwa kelahiran Yesus oleh anak dara telah dinubuatkan oleh para nabi beberapa ratus tahun dahulu. Menurut Yesaya 7:14, Nabi Yesaya bernubuat, "Baiklah, Tuhan sendiri akan memberi tanda kepada tuanku: seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan 'Imanuel'." Nabi itu mengatakan bahawa anak dara itu akan disebut Penasihat Bijaksana Allah Perkasa, Bapa Kekal dan Raja Damai. Pada umumnya, orang akan mempercayai bahawa bayi yang dilahirkan akan mempunyai seorang ibu dan bapa. Dalam hal nama pula, biasanya, seorang bapa akan mewariskan nama keturunannya kepada anak yang telah dilahirkan. Persoalan di sini adalah bagaimanakah seorang gadis yang masih dara boleh melahirkan seorang anak? Perkara ini melanggar konsep persenyawaan ovum dan sperma yang terdapat pada seorang wanita dan lelaki. Setiap bayi haruslah mempunyai kromosom bapanya supaya dia dapat mewarisi keturunan bapanya dan hidup sebagai seorang bayi yang normal. Namun Alkitab mengatakan Yesus dilahirkan melalui benih seorang perempuan (Kejadian 3:15) dan tidak mempunyai bapa jasmani. Kenyataan telah membuktikan terjadinya keajaiban yang luar biasa. Pada sekitar dua ribu tahun yang lampau seorang anak dara yang bernama Maria telah melahirkan seorang bayi yang diberi nama Yesus, Penyelamat manusia. Peristiwa ini bukan sahaja sukar dipercayai oleh anda dan saya. Maria sendiripun tidak percaya dan sukar untuk menerima kenyataan ini apabila malaikat Allah menyampaikan berita tersebut kepadanya. Maria berkata kepada malaikat itu, "Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?" (Lukas 1:34). Oleh sebab itu, tidak hairanlah kalau peristiwa ini merupakan suatu tanda ajaib bagi kita. Begitu juga pendapat-pendapat sesetengah orang yang mengatakan bahawa kelahiran bayi Maria itu disebabkan perbuatan zina. Tetapi jika difikirkan dengan bijaksana, pendapat-pendapat itu tidak boleh diterima. Ada beberapa sebab mengapa pendapat-pendapat itu tidak boleh diterima. Pertama, menurut Taurat Yahudi pada masa itu, seorang perempuan yang disyaki berzina haruslah direjam dengan batu hingga mati. Namun, Maria tidak dijatuhkan hukuman tersebut. Orang Yahudi dan ahli keluarga Maria sendiripun tidak menjatuhkan hukuman tersebut keatasnya. Yusuf yang disifatkan sebagai seorang Yahudi yang taat, bahkan dia sebagai bakal suami Mariapun tidak merejam dia atau menceraikannya, tetapi dengan segera bernikah dengan dia. Kedua, berdasarkan pernyataan Maria sendiri sewaktu dia sedang mengandung bahawa : 1. Kandungannya adalah daripada Roh Allah. 2. Anak yang dilahirkan adalah suci dan disebut Anak Allah. 3. Bayi itu akan dinamakan Yesus kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka. Matius 1:21, Lukas 1:31-32.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar