Senin, 03 November 2008

Sifat Ilahi pada diri Yesus.

6. Sifat ilahi pada diri Yesus. Melalui hikmat dan kuasa Ilahi yang ada pada Yesus, kita dapat mengenal Dia sebagai Anak Allah yang sejati. Pertama, Dia memiliki kuasa untuk mengatur segala sesuatu. Di dalam kitab Yohanes fasal 2, tercatat peristiwa tentang satu perjamuan kahwin di kota Kama. Ketua majlis berasa bingung apabila mereka kehabisan wain untuk dihidangkan kepada para tetamu. Yesus melihat hal tersebut lalu melakukan mukjizat-Nya yang pertama, yaitu mengubah air biasa yang diisikan ke dalam tempayan, menjadi wain yang terbaik. Dia juga berkuasa atas tumbuh-tumbuhan. Pada waktu Yesus dalam perjalanan kembali ke Yerusalem melalui Betania, Dia merasa lapar dan melihat sebatang pokok ara di pinggir jalan. Dia menghampiri pokok itu, tetapi tidak mendapat sebiji buah pun. Dia mendapati daun sahaja. Yesus berkata kepada pokok itu, "Hai pokok, engkau tidak akan berbuah lagi!" Dengan segera pokok ara itu layu (Matius 21:19). Yesus juga berkuasa atas binatang dan ikan. Kejadian ini berlaku apabila para pemungut cukai Rumah Tuhan di Kapernaum bertanya, "Adakah guru kamu membayar cukai Rumah Tuhan?" Petrus datang kepada Yesus dan berbincang dengan Dia. Kemudian Yesus menyuruh Petrus pergi ke tasik untuk memancing ikan. Di dalam mulut ikan pertama yang ditangkapnya, dia mendapati sekeping duit syiling yang cukup untuk membayar cukai Rumah Tuhan (Matius 17:26-27). Yesus memiliki kuasa untuk menyembuhkan semua jenis penyakit yang aneh. Di Galilea, Yesus terharu apabila melihat seorang pesakit kusta berlutut menyembah Dia dan memohon kesembuhan. Yesus menghulurkan tangan dan menyentuhnya, maka dengan serta merta penyakitnya sembuh. Di Yerusalem, Dia pernah menyembuhkan seorang yang menderita kerana sakit lumpuh selama 38 tahun. Setiap hari orang ini menunggu berhampiran kolat Betesda, dengan harapan bahawa dia akan memperoleh kesembuhan daripada air kolam yang berkocak. Yesus sangat berbelas kasihan dengannya lalu berkata, "Bangunlah, angkatlah tikarmu dan berjalanlah." Pada masa itu juga orang itu mengangkat tikarnya dan berjalan (Yohanes 5:1-15). Dalam kitab Markus 5:25-34, terdapat seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan parah yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun. Dia sudah menghabiskan semua hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi penyakitnya tetap tidak sembuh, malah keadaannya semakin teruk. Pada suatu hari, apabila dia mendengar bahawa Yesus akan datang ke tempat tinggalnya, dia pergi bertemu dengan Yesus. Di dalam keadaan yang penuh sesak dengan orang ramai, wanita ini berjaya menyentuh jubah Yesus kerana dia yakin dengan berbuat demikian dia tentu akan sembuh. Sungguh ajaib, kerana pendarahan wanita ini berhenti dan dia dapat merasakan bahawa dia benar-benar sudah sembuh. Yesus dapat membangkitkan orang yang telah mati. Hal ini boleh dibuktikan di dalam kitab Markus 5:35-43. Peristiwa Yesus menghidupkan semula anak perempuan Yairus, seorang ketua rumah ibadat tempatan, dan juga anak tunggal seorang janda di kota Nain, serta Lazarus saudara Maria. Lazarus sudah mati bahkan telah dikubur selama beberapa hari. Tetapi oleh kuasa Ilahi yang ada pada Yesus, dia dihidupkan kembali. Rujuk Yohanes 11. Yesus juga memiliki kuasa mengalahkan syaitan. Di dalam kitab Markus 1, Yesus telah mengusir roh jahat yang merasuk seorang di kota Kapernaum. Hal ini menyebabkan penduduk kota itu tercengang. Mereka saling bertanya antara satu sama lain tentang kejadian ini kerana mereka hairan dengan kuasa yang ada pada Yesus. Berita tentang Yesus tersebar dengan cepat ke seluruh wilayah Galilea.

Tidak ada komentar: