Sabtu, 01 November 2008
Kebangkitan Yesus dari kematian.
3. Kebangkitan Yesus dari kematian. Lebih kurang dua ribu tahun yang lalu, satu peristiwa yang menggemparkan dan mengagumkan berlaku di dunia ini. Yesus yang telah mati disalib dan dikubur selama tiga hari, secara tiba-tiba bangkit dari kematian. Dia hidup semula dan menyatakan diri-Nya kepada para pengikut-Nya selama 40 hari. Kemudian Yesus diangkat ke syurga serta duduk di sebelah kanan Allah Bapa. Hal ini bukan sahaja sukar kita percayai, bahkan dikatakan bahawa para pengikut Yesus sendiripun tidak percaya pada mulanya. Salah seorang murid-Nya yang bernama Tomas berkata, "kecuali aku melihat bekas paku pada tangan-Nya dan meletakan tanganku pada rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya." kemudian Yesus menyatakan diri-Nya kepada Tomas dan menyuruh dia meletakan tangannya pada rusuk-Nya. Tomas akhirnya percaya bahawa Yesus telah bangkit dari kubur (Yohanes 20:24-29). Kebangkitan Yesus merupakan keistimewaan kekristianan. Dalam waktu 40 hari setelah Yesus bangkit, Dia pernah menyatakan diri-Nya kepada murid-murid-Nya. Mula-mula kepada Petrus, kemudian kepada dua belas orang rasul dan lima ratus orang pengikut-Nya, dan juga kepada Yakobus. Oleh sebab mereka telah melihat dengan mata sendiri bagaimana Yesus menyatakan diri-Nya kepada mereka, maka mereka benar-benar percaya bahawa kebangkitan Yesus adalah benar. Jika ada yang bertanya bagaimana dapat diketahui bahawa Yesus sudah bangkit dari kematian dan bagaimana dapat dibuktikan bahawa Dia masih hidup sehingga hari ini, maka setiap orang Kristian dapat memberikan bukti-bukti untuk menjawab pertanyaan itu. Sekiranya Yesus tidak bangkit dari kematian, sudah tentu para pengikut-Nya tidak berani memberitakan kebangkitan-Nya tanpa menghiraukan hidup atau mati mereka. Ada di kalangan sejumlah orang yang mengatakan bahawa jenazah Yesus telah dicuri oleh orang lain. Alasan ini tidak boleh diterima. Para pengikut Yesus tidak mungkin mencuri mayat-Nya. Pada masa itu, kubur Yesus ditutup dengan batu besar dan dijaga dengan ketat oleh askar-askar Roma. Sekiranya mayat Yesus telah dicuri oleh musuh-musuh Yesus, sudah tentu mereka akan mengeluarkannya sebagai bukti ketika Petrus sedang memberitakan kebangkitan Yesus pada hari Pentakosta. Yesus pernah bernubuat tentang kebangkitan-Nya, maka sudah tentu musuh-musuh-Nya tidak akan melakukan hal sedemikian sehingga nubuat-Nya ditepati.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar